
BACHOK, 1 Mac – Seorang daripada tiga anggota polis bantuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dikesan membekalkan dadah kepada klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah telah dipecat Oktober tahun lalu.
- Satu anggota polis bantuan AADK dipecat Oktober lalu selepas didapati membekalkan dadah dan positif dadah.
- Dua lagi anggota akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib esok untuk tindakan akhir.
- Siasatan dalaman AADK bermula November 2024, bukan hanya tindak balas kepada laporan EAIC.
- EAIC menemui pelanggaran di PUSPEN Serdang; 47 klien disyaki positif methamphetamine dan keputusan dirujuk untuk tindakan tatatertib.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dua lagi anggota berkenaan akan dipanggil ke Lembaga Tatatertib esok bagi
tindakan lanjut, yang juga merupakan proses akhir siasatan.
Beliau menjelaskan, hasil siasatan mendapati anggota yang ditamatkan perkhidmatan itu bukan sahaja membekalkan dadah kepada klien, malah turut didapati positif dadah.
Kesalahan dilakukan adalah serius dan tindakan terhadap ketiga-tiga individu terbabit bukan dibuat secara tergesa-gesa susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), sebaliknya siasatan dalaman AADK telah dimulakan sejak November 2024.
“Ia bukanlah reaksi kepada laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan baru dua tiga hari tetapi ia berjalan secara sekali.
“Dalam konteks kita, ia merupakan kesalahan serius memandangkan anggota tersebut diharapkan menjaga klien,” katanya pada sidang media selepas Majlis Bersahur sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di PUSPEN Bachok, Kelantan.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin turut memaklumkan, dua anggota polis bantuan berkenaan kini telah dipindahkan ke AADK Kedah sementara menunggu keputusan Lembaga Tatatertib.
Terdahulu, media melaporkan EAIC mendedahkan berlaku pelanggaran arahan oleh pegawai bertugas di PUSPEN Serdang sehingga 47 klien disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
EAIC memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Subseksyen 27(4) Akta EAIC 2009 dan hasilnya dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib AADK dengan syor hukuman mengikut Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuandan Tatatertib) 1993.