
KUCHING, 1 Mac – Satu lagi kes kematian akibat rabies direkodkan di Sarawak, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 91 dengan 84 daripadanya melibatkan kematian.
- Kes kematian rabies terbaru direkodkan di Sarawak, menjadikan jumlah kumulatif 91.
- Mangsa lelaki 44 tahun dari Kota Samarahan meninggal di Hospital Umum Sarawak pada 25 Februari.
- Mangsa menunjukkan gejala neurologi sejak 15 Februari dan memerlukan bantuan pernafasan sebelum meninggal.
- Mangsa memelihara 15 anjing dan sering memberi makan anjing liar; salah satu anjing peliharaan dilaporkan mati.
Mangsa lelaki berusia 44 tahun menetap di Kota Samarahan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada 25 Februari lalu.
“Mangsa mula mengalami gejala sukar berjalan, kurang selera makan, sakit pada bahagian lutut kaki kanan serta badan lemah pada 15 Februari,” menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menerusi kenyataan hari ini.
Pada keesokan harinya mangsa dibawa ke Pusat Jantung Sarawak sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada hari sama.
“Keadaan kesihatan mangsa semakin merosot dan telah diberikan bantuan pernafasan pada 22 Februari sebelum disahkan meninggal dunia pada 25 Februari,” katanya.
Siasatan mendapati mangsa memelihara 15 ekor anjing di dalam rumah, namun tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau kucing.
“Salah seekor anjing peliharaan mangsa dilaporkan mati pada awal bulan lalu dan bangkainya telah ditanam oleh jiran.
“Siasatan lanjut turut mendapati mangsa gemar memberi makanan kepada anjing liar di kawasan kediamannya,” menurut kenyataan itu.