BDR tuntut pengurusan elektrik bijak

(Foto kecil: Prof. Madya Ir. Dr. Ungku Anis Ungku Amirulddin)

ANGKASAPURI, 20 April- Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) menuntut pengurusan penggunaan elektrik yang bijak bagi memastikan penjimatan tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gunakan bateri untuk peralatan seperti komputer dan kurangkan mengecas berterusan bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
  • Kawal penggunaan serentak peralatan, fokus kawalan penghawa dingin, kekalkan suhu 24 hingga 26°C untuk penggunaan tenaga lebih rendah.
  • Gunakan peralatan cekap tenaga seperti lampu LED dan gred empat atau lima bintang; rancang penggunaan tenaga rumah secara sistematik.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Kecekapan Tenaga, Institut Kejuruteraan Kuasa, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof. Madya Ir. Dr. Ungku Anis Ungku Amirulddin berkata perubahan corak kerja di rumah menyebabkan penggunaan elektrik harian boleh meningkat, namun ia masih boleh dikawal melalui amalan penggunaan tenaga secara berhemah dan terancang.

“Dengan bekerja dari rumah, pengguna perlu mengubah cara penggunaan tenaga. Peralatan seperti komputer boleh dimanfaatkan melalui penggunaan bateri sebagai alternatif, berbanding mengecasnya secara berterusan sepanjang masa,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata kawalan penggunaan peralatan elektrik di kediaman memainkan peranan penting dalam mengelakkan pembaziran tenaga khususnya apabila beberapa peralatan digunakan serentak sepanjang tempoh bekerja dari rumah.

Menurutnya, aspek paling kritikal ialah penggunaan pendingin hawa kerana ia antara penyumbang utama kepada penggunaan elektrik di rumah.

“Mengikut kajian, suhu yang memberikan keselesaan dengan penggunaan tenaga rendah adalah antara 24 hingga 26 darjah Celsius. Sekiranya suhu dikekalkan dalam julat tersebut, penggunaan elektrik bagi penghawa dingin dapat dikurangkan dengan ketara.

“Namun, jika suhu diturunkan walaupun satu darjah di bawah 24 darjah Celsius, penggunaan elektrik boleh meningkat antara enam hingga 10 peratus,” katanya. katanya.

Tambah beliau, penggunaan peralatan cekap tenaga seperti lampu LED serta peralatan elektrik bertaraf empat atau lima bintang mampu membantu mengurangkan kos elektrik dalam jangka panjang.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang penggunaan tenaga di rumah secara lebih sistematik bagi memastikan penjimatan berterusan.

1 April lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April lepas sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.