
KUALA LUMPUR, 20 April – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 dilihat sebagai platform strategik kepada universiti tempatan untuk mempamerkan hasil penyelidikan, inovasi dan produk teknologi di pentas antarabangsa.
- Universiti awam mempamerkan hasil kolaborasi dengan industri serta produk inovasi berpotensi dikomersialkan.
- Platform memberi peluang kepada industri menilai teknologi baharu dan memperkukuh jaringan kerjasama strategik.
- UPNM memeterai 15 perjanjian strategik meliputi MoA, MoU, NDA dan LOI dalam R&D, sistem pertahanan dan forensik digital.
- Pameran menumpukan teknologi pertahanan seperti dron, sistem logistik autonomi, latihan bahan letupan, keselamatan siber dan sistem dwi guna.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, penyertaan itu membuka ruang kepada universiti awam mengetengahkan hasil kolaborasi bersama industri serta memperkenalkan produk inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan.
“Ini merupakan satu platform penting untuk universiti tempatan mempamerkan produk inovasi serta hasil penyelidikan yang telah dan sedang dibangunkan, termasuk yang masih belum diteroka oleh pihak industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di ibu negara.
Platform berkenaan turut memberi peluang kepada pihak industri menilai dan mengenal pasti teknologi baharu yang dihasilkan institusi pendidikan tinggi, seterusnya memperkukuh jaringan kerjasama strategik.
Antara universiti yang terlibat termasuk Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selaku penyelaras, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pemilihan produk yang dipamerkan memberi tumpuan kepada bidang pertahanan, keselamatan dan ketenteraan, termasuk pembangunan dron, sistem logistik autonomi serta teknologi latihan berkaitan bahan letupan.
Dalam perkembangan sama, UPNM turut mencatat kejayaan membanggakan apabila memeterai 15 perjanjian strategik dengan rakan industri tempatan dan antarabangsa pada hari pertama penganjuran acara berkenaan.
Perjanjian tersebut merangkumi memorandum perjanjian (MoA), memorandum persefahaman (MoU), Perjanjian Kerahsiaan (NDA) serta Surat Niat (LOI) melibatkan kerjasama dalam bidang kritikal seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), sistem pertahanan, forensik digital serta pembangunan modal insan.
Penyertaan KPT melalui astaka khas yang menghimpunkan sembilan universiti awam turut mempamerkan pelbagai teknologi termasuk keselamatan siber, sistem autonomi dan teknologi dwi-guna.
DSA & NATSEC Asia 2026 dilihat sebagai platform strategik dalam memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu inovasi dan rakan industri dalam pembangunan teknologi pertahanan negara.