Ekonomi negara terus berkembang, inflasi dalam julat terkawal – Menteri Ekonomi

Akmal Nasrullah Mohd Nasir

PUTRAJAYA, 20 April- Kerajaan terus memantau perkembangan inflasi semasa susulan peningkatan kadar inflasi negara kepada 1.7 peratus pada Mac berbanding 1.4 peratus pada Februari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan terus memantau perkembangan inflasi dan meneliti kos input bagi menangani implikasi terhadap harga barangan dengan berkesan.
  • Dasar sedia ada membantu meredakan tekanan inflasi berbanding negara lain, namun bukan alasan untuk berbangga atau berasa selesa.
  • Unjuran pertumbuhan menunjukkan ekonomi terus berkembang, tetapi kerajaan kekal berwaspada terhadap risiko gangguan rantaian bekalan dan tenaga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata meskipun berlaku sedikit peningkatan, beberapa dasar yang dilaksanakan kerajaan setakat ini membantu meredakan tekanan inflasi berbanding beberapa negara lain.

“Sudah pasti kita melihat ada sedikit kenaikan daripada Februari ke Mac, iaitu daripada 1.4 kepada 1.7 peratus. Kita juga perlu melihat inflasi dari segi bakul barangan yang diambil kira,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan dasar sedia ada menunjukkan kesan dalam meredakan inflasi bagi bulan Mac, namun ia bukan sesuatu untuk dibanggakan secara berlebihan.

“Dari segi beberapa dasar kerajaan yang diguna pakai, ia menunjukkan bahawa inflasi dapat diredakan untuk bulan Mac berbanding dengan negara-negara lain. Tetapi itu bukan sesuatu untuk kita mendabik dada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesan inflasi dijangka berlaku secara berperingkat memandangkan negara masih mempunyai kekuatan dari segi inventori dan beberapa sokongan lain.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus meneliti perkembangan kos input semasa bagi memastikan sebarang implikasi terhadap harga barangan dapat ditangani dengan berkesan.

Mengulas unjuran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus, beliau berkata angka tersebut menunjukkan ekonomi negara terus berkembang hasil momentum kukuh daripada prestasi tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan kekal berwaspada terhadap risiko gangguan rantaian bekalan dan bekalan tenaga susulan perkembangan geopolitik semasa, walaupun Malaysia mempunyai daya tahan ekonomi yang lebih baik berbanding beberapa negara lain.

Tambah beliau, sikap terlalu selesa dengan kekuatan sedia ada perlu dielakkan bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus diperkukuh dari semasa ke semasa.