
KUALA LUMPUR, 20 April – Peranan pihak universiti amat penting dalam memberikan bimbingan dan nasihat kepada pelajar agar setiap karya yang dihasilkan tidak menyinggung mana-mana pihak.
- Universiti mesti memberi bimbingan dan nasihat supaya karya pelajar tidak menyinggung pihak lain.
- Pendekatan berasaskan panduan dan didikan lebih sesuai dilaksanakan dalam pendidikan seni.
- Namun tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan karya mematuhi peraturan institusi dan negara.
- Universiti harus membimbing anak muda agar menghormati nilai serta budaya ketimuran yang perlu dipelihara.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berpandangan, pendekatan berasaskan panduan dan didikan dilihat lebih sesuai dilaksanakan, namun keperluan tindakan tegas tetap tidak diketepikan bagi memastikan setiap karya yang dihasilkan mematuhi peraturan.
“Kadang-kadang mereka (pelajar) teruja untuk mempamerkan seni, bukan berniat melakukan kesalahan, tetapi mungkin khilaf dalam menilai sensitiviti.
“Kita perlu beri panduan kepada anak muda ini. Negara kita walaupun maju, tetap berpegang kepada nilai dan budaya ketimuran yang harus dipelihara
bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di ibu negara.