Cadangan Kementerian Undang-Undang perkukuh urusan perundangan

Datuk Seri Azalina Othman Said

PUTRAJAYA, 20 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, menyatakan harapannya agar cadangan penubuhan sebuah kementerian khusus, iaitu Kementerian Undang-Undang, dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan penubuhan Kementerian Undang-Undang untuk memperkukuh sistem perundangan negara dan pengurusan lebih tersusun.
  • Kementerian lengkap dengan struktur kepimpinan seperti Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian dan Ketua Pengarah untuk perkhidmatan berkesan.
  • Cadangan itu adalah pandangan peribadi namun wajar dipertimbangkan sebagai dasar kerajaan pada masa hadapan.
  • Perdana Menteri menyatakan kerajaan sedang mempertimbang penubuhan untuk memastikan ekosistem perundangan lebih tersusun dan mampan.

Penubuhan kementerian tersebut diyakini mampu memperkukuh sistem perundangan negara serta memastikan pengurusan yang lebih tersusun dan berkesan.

“Sepatutnya ia dijadikan sebuah kementerian bagi memastikan undang-undang ini dilihat sebagai elemen yang amat penting kepada rakyat. Bukan bermakna Jabatan Perdana Menteri tidak penting.

“Namun dengan penubuhan kementerian tersendiri yang lengkap dengan struktur kepimpinan seperti Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian dan Ketua Pengarah, seperti yang ada pada hari ini, ia diyakini mampu bergerak dengan lebih efektif serta menyeluruh dalam membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice on Wheels (JoW) dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman, di sini hari ini.

Meskipun cadangan itu merupakan pandangan peribadi, namun wajar dipertimbangkan sebagai dasar kerajaan pada masa hadapan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Forum Undang-Undang ASEAN 2025 berkata kerajaan sedang mempertimbang penubuhan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.

Menurut Datuk Seri Anwar kemampanan perlu diberi penekanan selain membina sistem serta institusi undang-undang yang mampu bertahan dan kekal relevan sepanjang zaman.