ASEAN perlu tindakan serantau hadapi cabaran ekonomi, tenaga

Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh

BANGI, 20 April – ASEAN disarankan mengadakan mesyuarat khas melibatkan pemimpin dan menteri-menteri ekonomi bagi merangka tindak balas serantau yang lebih menyeluruh dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh daya tahan serantau termasuk ekonomi, rantaian bekalan dan keselamatan tenaga.
  • Merangka strategi serantau keselamatan tenaga untuk sokong bekalan jangka pendek dan peralihan kepada tenaga boleh baharu.
  • Sokong peralihan kepada solar, angin dan hidrogen sebagai sumber tenaga jangka panjang.
  • Malaysia laksana biodiesel B15 tetapi perlu kurangkan penggunaan tenaga, tingkatkan pengangkutan awam, kecekapan sistem dan semak subsidi bahan api.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, langkah itu bagi memperkukuh daya tahan serantau meliputi ekonomi, rantaian bekalan dan keselamatan tenaga.

Antara keutamaan yang perlu diberi perhatian dalam mesyuarat tersebut ialah pembentukan strategi serantau berkaitan keselamatan tenaga.

Perkara itu dilihat sebagai medium dalam menyokong isu bekalan bahan api bagi tempoh jangka pendek serta peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu untuk jangka panjang seperti solar, angin dan hidrogen.

“Untuk mewujudkan rantau yang berdaya tahan dan tangkas, amat penting untuk kita mempunyai strategi serantau berkaitan keselamatan tenaga.

“Kita sedia maklum bahawa tahun lalu, semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN, isu keselamatan serantau termasuk keselamatan tenaga turut dibincangkan berikutan beberapa negara anggota ASEAN berdepan cabaran dalam pengurusan rizab bahan api mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Seminar Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 dan Laporan Dasar Fiskal ASEAN+3 di sini.

Dalam konteks Malaysia, beliau berpandangan pelaksanaan mandat biodiesel B15 sebagai langkah yang baik, namun menegaskan usaha lebih menyeluruh diperlukan termasuk mengurangkan penggunaan tenaga melalui pengangkutan awam serta memperkukuh kecekapan sistem sedia ada.

Pada masa sama, beliau turut menekankan keperluan menilai semula pendekatan subsidi bahan api memandangkan kos yang semakin meningkat berpotensi mempengaruhi kedudukan fiskal kerajaan.