
TOKYO, 16 Jun– SoftBank dan OpenAI memperkenalkan perkhidmatan keselamatan siber baharu bagi membantu syarikat serta organisasi menghadapi ancaman serangan yang semakin canggih dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
- Perkhidmatan ditawarkan di Jepun melalui syarikat usaha sama kedua-dua pihak yang ditubuhkan tahun lalu.
- Masayoshi Son mengingatkan AI kini digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melancarkan serangan siber secara berterusan.
- Sistem keselamatan perlu dikemas kini berterusan bagi mengelakkan kelemahan yang boleh dieksploitasi penggodam.
- Pelancaran memperkukuh kerjasama antara SoftBank dan OpenAI serta memanfaatkan teknologi OpenAI untuk mengukuhkan pertahanan digital organisasi.
Perkhidmatan itu akan ditawarkan di Jepun menerusi syarikat usaha sama yang ditubuhkan kedua-dua pihak tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank, Masayoshi Son berkata, AI kini semakin banyak digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melancarkan serangan siber secara berterusan.
Menurut beliau, keadaan itu memerlukan sistem keselamatan sentiasa dikemas kini bagi mengelakkan kelemahan yang boleh dieksploitasi penggodam.
“Kita kini berdepan era baharu apabila AI digunakan untuk melancarkan serangan siber secara berterusan.
“Sebab itu perlindungan sistem tidak boleh dilakukan sekali sahaja, sebaliknya perlu diperkukuh dari semasa ke semasa,” katanya pada satu pembentangan, di sini.
Son berkata, sektor penting seperti tenaga, lapangan terbang dan pengangkutan awam antara yang paling memerlukan perlindungan daripada ancaman tersebut.
Katanya, SoftBank akan memanfaatkan teknologi terkini OpenAI bagi membantu organisasi mengukuhkan pertahanan digital masing-masing.
Pelancaran perkhidmatan itu turut memperkukuh kerjasama antara SoftBank dan OpenAI yang sebelum ini membangunkan pelbagai penyelesaian berasaskan AI untuk pasaran Jepun. -REUTERS