
IPOH, 20 April – Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan semua isu dan keperluan pesawah, termasuk berkaitan kos operasi, akan dibawa ke peringkat kementerian untuk perhatian lanjut serta pertimbangan tambahan peruntukan.
- Mengurangkan tekanan kos pesawah untuk memastikan pengeluaran padi kekal stabil.
- Kerajaan negeri peka terhadap rungutan pesawah dan sedang melaksanakan pelbagai langkah bantuan.
- Menyalurkan bantuan baja dan racun perosak; memperkukuh pengairan, saliran, pengapuran dan perataan tanah.
Langkah itu bagi mengurangkan tekanan kos yang ditanggung pesawah, selain memastikan pengeluaran padi di negeri itu kekal stabil.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap isu yang dibangkitkan pesawah dan sedang melaksanakan pelbagai langkah bantuan.
“Kita akan sentiasa membangkitkan perkara ini kepada pihak Kementerian supaya isu ini diberi perhatian, khususnya kerana para pesawah kini berdepan tekanan akibat konflik di Asia Barat, kenaikan kos dan sebagainya.
“Pihak Kementerian akan memberi perhatian serius serta mempertimbangkan penambahan bantuan kos input seperti yang disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkenaan isu kos kerja pembersihan sawah serta penyelenggaraan saliran yang ditanggung pesawah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini.
Antara tindakan yang dilaksanakan termasuk penyaluran bantuan input pertanian seperti baja dan racun perosak bagi mengurangkan beban kos pengeluaran.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperkukuh infrastruktur sawah melibatkan sistem pengairan dan saliran, kerja pengapuran serta perataan tanah secara berperingkat bagi meningkatkan hasil dan kecekapan pengeluaran padi.