KUALA LUMPUR, 11 Mei- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menjalankan Banci Pertanian 2024 (BP 2024) pada 7 Julai depan yang merangkumi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan dan perhutanan dan pembalakan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia merupakan banci kali ke-4 selepas kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2005.
Dalam kenyataannya, beliau berkata pelaksanaannya adalah sejajar dengan resolusi Food and Agriculture Organisation (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesyorkan agar semua negara melaksanakan Banci Pertanian dengan kekerapan sekali dalam tempoh 10 tahun.
"Banci Pertanian dijalankan adalah untuk mengumpul data profil penduduk yang menjalankan aktiviti pertanian yang meliputi ciri-ciri demografi dan sosioekonomi.
"Maklumat BP 2024 ini sangat penting untuk merancang dan menggubal dasar-dasar pertanian terkini yang bersesuian dengan kemajuan teknologi dan kepesatan penduduk negara," katanya.
Tambah Dr Mohd Uzir, ianya akan menjadi asas kepada unjuran dan anggaran sektor pertanian negara seterusnya sebagai penanda aras baharu dalam penyediaan indikator sektor pertanian dalam menjamin bekalan makanan serta sosioekonomi.
BP 2024 dilaksanakan DOSM bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Dapatan awal bancian dijangka diumumkan selewat-lewatnya akhir suku pertama 2025.
Justeru orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bancian Pertanian 2024 boleh melayari portal melalui http://www.myagricensus.gov.my/ .