Allahyarham Mohd Radzi mudah didekati, kuat bekerja – Wan Rosdy

Pemergian Allahyarham disifatkan kehilangan besar kepada parti

TEMERLOH, 4 Ogos – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemergian Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd Radzi Rahimi sebagai satu kehilangan besar kepada parti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Allahyarham dikenali ceria, mudah didekati dan tidak menunjukkan tanda susah hati.
  • Wan Rosdy menyifatkan beliau seorang yang kuat bekerja dan rakan sejuang bagi Barisan Nasional.
  • Kenderaan keluarga dihempap pokok tumbang ketika dalam perjalanan dari Genting ke Bentong, menyebabkan kemalangan maut.
  • Empat maut termasuk isteri, seorang anak kembar dan adik ipar; seorang lagi anak kembar parah dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, beliau kehilangan individu yang kuat bekerja dan sahabat yang sama-sama berjuang untuk Barisan Nasional.

“Saya sangat terasa dengan kehilangan Allahyarham. Allahyarham seorang yang sangat ceria, senang bergaul dan mudah didekati…..tidak pernah menunjukkan rasa susah hati,” katanya ketika ditemui media di Masjid Paya Luas di Temerloh ketika menanti pengurusan jenazah.

Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham yang dikenali sebagai Edy Razi.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari Isnin, Allahyarham Mohd Radzi bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari Genting ke Bentong ketika kenderaan mereka dihempap pokok tumbang.

Kejadian itu meragut nyawa Allahyarham dan tiga yang lain, iaitu isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, seorang daripada anak kembar mereka yang berusia lima tahun, Muhammad Rizz Hazim dan adik ipar, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.

Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq parah dan menerima rawatan awal di Hospital Bentong, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk rawatan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.