Kejayaan Glasgow pemangkin persiapan ke Sukan Asia – Penganalisis

Perarakan masuk kontinjen Malaysia pada pembukaan Sukan Komanwel Glasgow 2026 di The Hydro pada 24 Julai lepas/Bernama — (Foto kecil: Datuk Dr. Pekan Ramli/RTM)

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Kejayaan cemerlang kontinjen Malaysia meraih lapan pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 perlu dijadikan suntikan semangat untuk memperkukuh persiapan menghadapi cabaran lebih besar di Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan Glasgow perlu dijadikan suntikan semangat untuk memperkukuh persiapan menghadapi cabaran lebih sengit di Sukan Asia.
  • Pencapaian tanpa penyertaan beberapa sukan utama tunjuk potensi sukan lain untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
  • Sumbangan angkat berat, judo, berbasikal trek dan acara para perlu dimanfaatkan untuk memperkemas strategi serta menaikkan prestasi.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata pencapaian itu membanggakan kerana Malaysia berjaya melangkaui sasaran lima pingat emas menerusi kontinjen yang lebih kecil, selain hanya menyertai lapan daripada 10 jenis sukan dipertandingkan.

“Kita berjaya meraih lapan pingat emas walaupun menghantar kontinjen yang kecil dan hanya menyertai lapan daripada 10 acara sukan dipertandingkan. Pencapaian ini lebih bermakna kerana beberapa sukan utama negara seperti badminton, skuasy dan terjun tidak dipertandingkan.

“Kejayaan menerusi sukan-sukan lain ini membuktikan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa,” katanya kepada RTM hari ini.

Menurut beliau, kejayaan skuad angkat berat yang menyumbang lima pingat emas, selain sumbangan daripada judo, berbasikal trek dan acara para, menunjukkan Malaysia kini memiliki lebih banyak sukan berpotensi untuk menyerlah di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, Datuk Dr. Pekan berkata kejayaan di Glasgow perlu dijadikan titik permulaan untuk meningkatkan lagi tahap persiapan atlet kerana Sukan Asia menawarkan persaingan yang lebih sengit.

“Kejayaan di Sukan Komanwel perlu dijadikan pembakar semangat untuk terus mempertingkatkan prestasi. Cabaran di Sukan Asia nanti pastinya lebih sengit kerana tahap persaingan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata pencapaian di Glasgow membuktikan kemampuan atlet negara dan perlu dimanfaatkan untuk memperkemas strategi serta meningkatkan prestasi menjelang cabaran di peringkat Asia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.