Harimau Malaya pincang hadapi Filipina, dua tonggak utama cedera

Tan Cheng Hoe/ RTM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Harimau Malaya berdepan cabaran getir menjelang aksi penentuan menentang Filipina dalam Kumpulan B Piala ASEAN 2026 apabila kehilangan seorang lagi pemain utama akibat kecederaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jimmy Raymond disahkan tidak boleh diturunkan kerana kecederaan buku lali.
  • Endrick Dos Santos sudah diketepikan akibat kecederaan ligamen kolateral medial.
  • Tan Cheng Hoe mahu pemain kekal fokus; barisan kejurulatihan nilai pengganti namun persiapan singkat menyukarkan.

Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan pertahanan Jimmy Raymond tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika berdepan Thailand tempoh hari, sekali gus menyertai Endrick Dos Santos yang terlebih dahulu diketepikan akibat kecederaan ligamen kolateral medial (MCL).

Menurutnya, kehilangan dua pemain berpengalaman itu memberi kesan kepada perancangan pasukan, namun pemain lain perlu tampil mengambil tanggungjawab bagi memastikan misi mara ke separuh akhir kekal terbuka.

“Ketika ini kita sudah mengesahkan Endrick tidak dapat beraksi pada perlawanan akan datang. Selain itu, laporan daripada pasukan perubatan turut mengesahkan Jimmy juga tidak boleh diturunkan.

“Saya harap kecederaan dua tonggak utama Harimau Malaya ini tidak terlalu serius,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan Harimau Malaya di Arena Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Tan Cheng Hoe berkata barisan kejurulatihan sedang menilai pilihan terbaik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jimmy, namun mengakui tempoh persiapan yang singkat menyukarkan usaha membawa masuk pemain baharu.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah cabaran Filipina walaupun pasukan itu tewas kepada Myanmar sebelum ini.

“Ini perlawanan yang wajib dimenangi jika kita mahu layak ke separuh akhir. Namun, kita tidak boleh memandang rendah kemampuan Filipina.

“Apa yang penting, pemain perlu kekal fokus sepenuhnya dan memberikan aksi terbaik apabila turun menentang mereka nanti,” jelasnya.

Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan B dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Myanmar dan Laos sebelum tewas kepada Thailand.

Harimau Malaya dijadualkan berdepan Filipina pada 8 Ogos ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.