
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Malaysia dan Kemboja bersetuju memperkukuh kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya sindiket penipuan tawaran pekerjaan, menerusi Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
- Memperkukuh perkongsian maklumat risikan dan siasatan rentas sempadan bagi mengenal pasti, menyelamat serta membawa pulang mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
- Menyelaraskan pelaksanaan National Referral Mechanism untuk mempercepatkan bantuan kepada mangsa dan mencegah tawaran pekerjaan palsu.
- Memperkukuh penyelarasan keselamatan serantau termasuk isu Myanmar, pemerkasaan Sentraliti ASEAN dan kestabilan selepas konflik sempadan Kemboja dan Thailand 2025.
Menurut Wisma Putra, kedua-dua negara akan mempertingkat perkongsian maklumat risikan, memperkukuh siasatan rentas sempadan serta memperkemas proses mengenal pasti, menyelamat dan membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.
“Kerjasama itu turut merangkumi penyelarasan di bawah National Referral Mechanism bagi mempercepatkan bantuan kepada mangsa serta menghalang lebih ramai rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu,” menurut kenyataan itu.
Selain menangani jenayah rentas sempadan, Malaysia dan Kemboja turut memperkukuh penyelarasan mengenai isu keselamatan serantau, termasuk situasi di Myanmar, pemerkasaan Sentraliti ASEAN serta usaha mengekalkan kestabilan susulan konflik sempadan Kemboja-Thailand pada 2025.
Persetujuan itu dicapai sempena Mesyuarat Ketiga JCBC yang dipengerusikan bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn.