Kontroversi projek ubah suai Kolam Pantulan Lincoln Memorial cetus pertikaian

Projek pembaharuan besar-besaran Kolam Pantulan Lincoln Memorial/ REUTERS

WASHINGTON, 5 Ogos – Projek pembaharuan besar-besaran Kolam Pantulan Lincoln Memorial yang mendapat sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berdepan beberapa masalah selepas kerja naik taraf bernilai AS$14.7 juta itu mencetuskan isu berkaitan kerosakan lapisan kolam, pertumbuhan alga dan dakwaan vandalisme.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump memuji kerja naik taraf sebagai penambahbaikan berkekalan, kata ia boleh bertahan puluhan tahun.
  • Beberapa hari kemudian air kolam bertukar kehijauan akibat alga dan sebahagian lapisan baru mula mengelupas.
  • Bekas atlet David Hearn didakwa vandalisme, mencetuskan bantahan penyokong dan meningkatkan perhatian terhadap pelaksanaan projek.
  • Pejabat Peguam mohon gugur pertuduhan selepas rekod Jabatan Dalam Negeri tunjuk kegagalan pemasangan; Trump tolak keputusan itu.

Sebelum projek berkenaan dimulakan, ia dikeringkan kemudian bahagian dasarnya disalut dengan bahan pengedap berwarna biru.

Ketika pemeriksaan pada Jun lalu, Trump memuji kerja naik taraf tersebut sambil menyifatkannya sebagai penambahbaikan berkekalan terhadap salah satu mercu tanda paling dikenali di Washington.

Beliau berkata, rakyat Amerika akan berbangga dengan hasil projek itu dan mendakwa ia mampu bertahan antara 50 hingga 100 tahun sebelum memerlukan kerja penyelenggaraan semula.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, air kolam bertukar kehijauan akibat pertumbuhan alga, manakala sebahagian lapisan baharu yang dipasang mula mengelupas.

Trump dan pegawai pentadbiran kemudian mendakwa kerosakan itu berpunca daripada tindakan vandalisme.

Pendakwa raya persekutuan turut mendakwa bekas atlet Olimpik AS, David Hearn, atas tuduhan merosakkan harta kerajaan selepas beliau didakwa menarik sebahagian lapisan kolam berkenaan.

Kes itu mencetuskan bantahan daripada penyokong Hearn selain meningkatkan perhatian terhadap pelaksanaan projek renovasi tersebut.

Pagar keselamatan dan peralatan pemantauan turut dipasang di sekitar kolam ketika kerja pembaikan diteruskan.

Pada 31 Julai, Pejabat Peguam AS bagi Daerah Columbia memohon supaya pertuduhan itu digugurkan selepas rekod baharu daripada Jabatan Dalam Negeri menunjukkan masalah tersebut berpunca daripada proses pemasangan yang tergesa-gesa dan mempunyai kelemahan, bukannya akibat vandalisme.

Pendakwa raya berkata, dokumen berkenaan menunjukkan berlaku kegagalan berulang pada lapisan kolam ketika proses pemasangan serta pengelupasan yang meluas di seluruh kawasan kolam.

Trump bagaimanapun menolak dapatan itu menerusi platform Truth Social, dengan menyatakan beliau tidak bersetuju sepenuhnya terhadap kesimpulan Peguam AS, Jeanine Pirro, bahawa masalah pemasangan menjadi punca utama kerosakan.

Beliau tetap berpendirian bahawa tindakan vandalisme menyebabkan kerosakan besar terhadap kolam berkenaan.

Ketika berucap di White House pada 3 Ogos, Trump turut mengkritik keputusan Pirro menggugurkan pendakwaan terhadap kes tersebut.

“Saya kecewa dengan Jeanine Pirro. Benar-benar kecewa. Beliau mengalah gagal mempertahankan pendirian dan orang ramai terlepas daripada tindakan atas perbuatan mereka, ia satu perkara yang memalukan,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.