
TEHRAN, 5 Ogos – Iran memaklumkan rundingan yang sedang berlangsung dengan Oman berhubung laluan perkapalan di Selat Hormuz menunjukkan perkembangan positif di peringkat teknikal dan politik.
- Rundingan menumpukan penetapan laluan selamat bagi kapal yang melalui Selat Hormuz.
- Iran berusaha membangunkan mekanisme bersama Oman untuk mengurus pergerakan kapal dan menjamin keselamatan serta kedaulatan kedua negara.
- Pegawai kanan berkata koridor baharu akan menggantikan laluan utara dan selatan semasa apabila mula beroperasi.
- Ketegangan meningkat: Iran mengetatkan kawalan, menghalang kapal berkaitan Israel dan AS; berlakunya serangan AS dan serangan balas Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, rundingan itu memberi tumpuan kepada penetapan laluan selamat bagi kapal yang melalui selat strategik tersebut.
“Iran berusaha membangunkan mekanisme bersama Oman bagi menguruskan pergerakan kapal di Selat Hormuz pada masa hadapan.
“Sebarang laluan baharu perlu menjamin hak kedaulatan dan keselamatan negara bagi kedua-dua negara, manakala keputusan muktamad hanya akan diumumkan selepas rundingan selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama stesen televisyen milik kerajaan, IRIB TV.
Sementara itu, Press TV yang juga dikendalikan kerajaan Iran melaporkan seorang pegawai kanan negara itu berkata koridor baharu berkenaan akan menggantikan laluan utara dan selatan yang digunakan ketika ini sebaik sahaja ia mula beroperasi.
Pegawai itu menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan mempertahankan kedaulatan negara serta selaras dengan hak mana-mana negara berdaulat untuk melindungi perairan wilayahnya daripada ancaman luar.
Pada 28 Februari lalu, Iran mengetatkan kawalan di Selat Hormuz dengan menghalang laluan selamat kepada kapal milik atau yang mempunyai kaitan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), susulan serangan bersama kedua-dua negara ke atas wilayah Iran.
Pada Julai, tentera AS melancarkan beberapa siri serangan terhadap sasaran di Iran dengan mendakwa tindakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal di Selat Hormuz, selain bertujuan mengurangkan keupayaan Tehran mengancam laluan perkapalan komersial.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan serta kemudahan ketenteraan AS di rantau berkenaan.- REUTERS