Korea Utara ancam tindak balas susulan langkah pertahanan Jepun

 Kim Yo Jong/ Foto REUTERS

SEOUL, 5 Ogos – Adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menuduh Jepun sedang berubah menjadi “negara perang”, susulan langkah Tokyo memperkukuh keupayaan ketenteraannya di rantau Pasifik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kim Yo Jong mengancam pertimbangkan pilihan ketenteraan tambahan sebagai tindak balas terhadap perubahan pendirian pertahanan Jepun.
  • Pyongyang menyifatkan Jepun sebagai "negara penjenayah perang" dan mengkritik pelancaran Tomahawk serta latihan bersama AS di Filipina.
  • Jepun memperkuatkan tentera, menjauh dari dasar pasifis, menempatkan pelancar peluru berpandu di pulau terpencil.
  • Kerajaan tingkat perbelanjaan pertahanan 9.7% kepada AS$62.2 bilion; Pyongyang tetap isytihar kuasa nuklear tidak boleh dipatahkan.

Dalam kenyataan yang disiarkan media rasmi Korea Utara, Kim Yo Jong berkata kepimpinan Pyongyang akan mempertimbang pilihan ketenteraan tambahan, sebagai tindak balas terhadap perubahan pendirian pertahanan Jepun.

“Jepun, sebuah negara penjenayah perang, sedang mempercepat transformasinya menjadi sebuah negara perang,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Kim turut merujuk kepada pelancaran peluru berpandu jarak jauh Tomahawk oleh Jepun, serta penyertaan negara itu dalam latihan ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Filipina pada Mei lalu, sebagai bukti sokongan Washington terhadap apa yang disifatkannya sebagai langkah ketenteraan berbahaya di rantau Pasifik.

Menurut beliau, Tokyo sedang berusaha membangunkan keupayaan melancarkan serangan awal dan Korea Utara tidak akan hanya menjadi pemerhati terhadap perkembangan ketenteraan Jepun yang boleh mengancam keselamatannya.

Jepun sejak beberapa tahun kebelakangan ini secara beransur-ansur menjauhkan diri daripada dasar pasifis yang diamalkan selepas Perang Dunia Kedua dengan meningkatkan perbelanjaan pertahanan, memperkukuh kerjasama keselamatan, serta menempatkan pelancar peluru berpandu di pulau-pulau terpencilnya.

Menteri Pertahanan Jepun pada Selasa berkata, keupayaan ketenteraan negara itu perlu diperkukuhkan dengan rasa mendesak dan kesedaran terhadap krisis, susulan laporan penilaian kerajaan yang memberi amaran mengenai peningkatan ancaman daripada China, Rusia dan Korea Utara.

Negara itu meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya sebanyak 9.7 peratus kepada AS$62.2 bilion pada 2025, bersamaan 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kadar tertinggi sejak 1958.

Pyongyang pula berulang kali mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah negara kuasa nuklear yang “tidak boleh dipatahkan” sejak sidang kemuncak antara Kim Jong Un dengan Presiden AS, Donald Trump pada 2019 gagal mencapai persetujuan berhubung pelucutan senjata nuklear serta pelonggaran sekatan. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.