
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan telah disempurnakan mengikut hukum syarak, sekali gus menolak sebarang keraguan berhubung amalan pembayaran zakat yang dilaksanakan institusi itu.
- Jawatankuasa Penasihat Syariah TH (mesyuarat 2 Sept 2020) berpandangan pembayaran zakat sebelum wakalah 2019 adalah sah dan patuh syarak.
- Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (3 Mei 1979) menetapkan TH tidak wajib zakat tetapi wajib membayar zakat bagi pihak pendeposit.
- Pendeposit tidak perlu membayar zakat ke atas dana yang sama kerana TH telah melunaskan zakat bagi pihak mereka, mengelakkan pertindihan.
TH dalam satu kenyataan memaklumkan, Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS) TH pada mesyuarat 2 September 2020 berpandangan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah serta mematuhi hukum syarak.
“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 3 Mei 1979 menetapkan TH adalah institusi yang tidak wajib zakat ke atasnya tetapi TH wajib membayar zakat bagi pihak pendeposit.
“TH telah secara konsisten menunaikan kewajipan membayar zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan ketetapan ini,” menurut kenyataan itu.
Bagi tempoh penggunaan kontrak Wadiah Yad Damanah antara 2016 hingga 2019, TH menjelaskan zakat yang dikeluarkan merupakan zakat perniagaan (secara khultah) bagi pihak pendeposit ke atas kumpulan wang yang diniagakan.
Jelas TH, pendekatan itu dibuat kerana institusi berkenaan tidak diwajibkan membayar zakat, tidak mempunyai pemegang saham dan keseluruhan aset yang diniagakan dijana sepenuhnya daripada dana pendeposit.
Sehubungan itu, pendeposit tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas dana simpanan yang sama kerana ia akan mengakibatkan pertindihan zakat yang tidak selaras dengan prinsip syariah.
Mengulas syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji supaya amalan zakat TH dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), TH memaklumkan perkara itu telah dibentangkan dan diperakui oleh jawatankuasa berkenaan pada Jun 2024.
Pandangan Jawatankuasa Muzakarah itu kemudiannya disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-267 pada Oktober 2024.
TH turut menegaskan keseluruhan operasi dan tadbir urus zakatnya dilaksanakan berpandukan Garis Panduan Zakat yang diluluskan serta dipantau oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH yang dianggotai pakar-pakar syariah dan kewangan Islam.