
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kumpulan Maybank menyalurkan dana zakat perniagaan sebanyak RM 6.5 juta kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan RM3 juta untuk Insentif Awal Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan.
- Komitmen Maybank memperkukuh usaha MAIWP meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta membina masa depan lebih berdaya tahan.
- Program pemerkasaan asnaf telah berjaya dilaksanakan bersama Maybank, termasuk penyerahan Insentif Awal Perkahwinan yang disaksikan pihak berkaitan.
- Insentif Awal Perkahwinan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 600 pasangan asnaf baharu memulakan kehidupan berkeluarga.
- Sepanjang 2022 hingga 2025, Maybank menyalurkan lebih RM21.6 juta zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata komitmen berterusan daripada institusi kewangan itu memperkukuh usaha MAIWP meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta membina masa depan yang lebih berdaya tahan.
“Program-program pemerkasaan asnaf itu telah pun berjaya dilaksanakan bersama dengan Maybank dan hari ni kita ingin menggerakkan lagi usaha-usaha ini termasuk adanya satu insentif yang sangat-sangat bermakna.
“Semoga kita boleh melaksanakan program dan juga usaha-usaha pemerkasaan asnaf dgn lebih baik di masa depan”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Insentif Awal Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan di Menara Merdeka Maybank.
Majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan Insentif Awal Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan, hasil kerjasama strategik antara Maybank Islamic dan MAIWP dengan peruntukan sebanyak RM3 juta
Insentif itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 600 pasangan asnaf yang baharu mendirikan rumahtangga bagi membantu mereka memulakan kehidupan berkeluarga yang lebih yakin dan terancang.
Sepanjang tempoh 2022 hingga 2025 Kumpulan Maybank telah menyalurkan lebih RM21.6 juta zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP.
Sementara itu, menjelang pembentangan dapatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) pada Sidang Khas Parlimen bertarikh 11 Ogos, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang kerana semua aspek hukum dan syariah telah diberi perhatian.