TPM Kemboja akhiri lawatan rasmi dua hari ke Malaysia

Foto Fail BERNAMA

SEPANG, 4 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Prak Sokhonn pulang ke tanah airnya hari ini sekali gus mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prak Sokhonn mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Anwar; kedua-dua negara komited memperkukuh hubungan dua hala.
  • Berbincang kerjasama strategik dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pembangunan modal insan.
  • Perdagangan dua hala meningkat 27.4% kepada RM5 bilion pada 2025, dan pelaburan Malaysia terkumpul RM13.07 bilion setakat 2024.

Beliau bersama delegasi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke Phnom Penh dengan menaiki penerbangan komersial pada pukul 4.45 petang.

Turut hadir mengucapkan selamat jalan ialah Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Datuk Rozainor Ramli.

Prak Sokhonn merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja memulakan lawatannya pada Isnin menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Kemboja pada 2027.

Semalam, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala.

Mereka turut membincangkan kerjasama strategik dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pembangunan modal insan.

Prak Sokhonn dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama untuk Kerjasama Dua Hala Malaysia-Kemboja di ibu negara hari ini.

Mesyuarat itu menyambung kembali mekanisme dua hala berkenaan yang sebelum ini terhenti selama 20 tahun.

Perdagangan dua hala meningkat 27.4 peratus tahun ke tahun kepada RM5 bilion pada 2025, dengan eksport Malaysia ke Kemboja berjumlah RM4.13 bilion manakala import bernilai RM880 juta.

Setakat 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja berjumlah RM13.07 bilion menerusi 162 projek berdaftar, sekali gus menjadikan Malaysia pelabur asing ketiga terbesar di negara itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.