
PERINGGIT, 4 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan medan untuk berkempen, tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
- Program mendekatkan wakil rakyat kepada rakyat untuk menyelami dan menyelesaikan masalah tanpa menunggu.
- WRUR telah berjalan dua tahun dan kini memasuki siri ke-25, tinggal lima DUN lagi untuk diselesaikan.
- Lapan perkara diselesaikan termasuk kit makanan, baik pulih lima rumah, pembinaan rumah baru oleh TNB, dan sumbangan kepada Masjid An-Nikmah.
Beliau berkata, tujuan kedua-dua program berkenaan bagi mendekatkan wakil rakyat untuk terus menyelami setiap permasalahan yang dihadapi rakyat tanpa perlu menunggu lebih lama.
“Kalau disusun semula… kita dah bergerak sejak dua tahun lepas, jauh lebih awal daripada mood pilihan raya. Memang dasar kerajaan negeri memberikan kebajikan kepada rakyat.
“Kita telah menggunakan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat sejak dua tahun lepas. Ini dah memasuki siri ke-25. Tinggal lima DUN sahaja yang perlu di selesaikan. Insya-Allah kita akan selesaikan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Pengkalan Batu di Taman Cempaka, di sini.
Pada program itu, sebanyak lapan perkara yang dibangkitkan susulan daripada program WRUR dan Hari EXCO Bertemu Rakyat (HEBAT) berjaya diselesaikan.
Antaranya, bantuan kit makanan berjumlah RM2,200 kepada 11 penerima, baik pulih lima buah rumah uzur dan membina sebuah rumah baharu bernilai hampir RM100 ribu menerusi Program Baiti Jannati oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta sumbangan RM20,000 kepada Masjid An-Nikmah.