Keselamatan wajib diutamakan dalam himpunan permotoran

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Aspek keselamatan wajib diutamakan dalam setiap penganjuran himpunan permotoran bagi melindungi keselamatan pengguna jalan raya dan mengelak kemalangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguatkuasaan undang-undang jalan raya tidak boleh dikompromi untuk elak pelanggaran berbahaya.
  • Kerjasama penganjur, peserta dan agensi penguatkuasa penting untuk acara terkawal tanpa menjejaskan orang ramai.
  • Disiplin peserta mesti ditegakkan untuk mengelakkan perlumbaan haram, tingkah laku tidak bertanggungjawab dan kemalangan.
  • Tanggungjawab keselamatan bersama diperlukan kerana kesalahan segelintir boleh membahayakan orang tidak bersalah.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zainal Madon menegaskan, sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya sama sekali tidak boleh dikompromi.

Beliau berpandangan, kerjasama penganjur, peserta dan agensi penguat kuasa penting bagi memastikan acara berlangsung secara terkawal tanpa menjejaskan orang ramai.

“Jika aktiviti ini tidak dilakukan secara teratur dan berhemah, ia boleh mengakibatkan kesesakan atau tingkah laku tidak terkawal yang membahayakan penunggang dan pengguna jalan raya.

“Saya tetap mahu menekankan supaya semua pihak berhati-hati dan berhemah kerana acara seperti ini mempunyai kesan terhadap keselamatan orang lain serta kumpulan itu sendiri,” katanya kepada RTM.

Orang awam turut menekankan kepentingan disiplin peserta dan penguatkuasaan dalam setiap penganjuran himpunan permotoran.

Md Yusuf, 69 tahun, berkata, acara sedemikian boleh mendatangkan risiko buruk sekiranya segelintir peserta gagal mengawal tingkah laku.

“Apabila sudah menunggang motosikal, ada yang lupa diri dan berlumba. Sebenarnya, berkumpul beramai-ramai itu bagus, tetapi sikap individu yang tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa,” katanya.

Abdul Rahman, 29 tahun, pula berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan perlu dipikul bersama oleh peserta dan agensi penguat kuasa.

“Jika berlaku kemalangan, orang yang tidak bersalah juga boleh terlibat. Mungkin hanya segelintir yang bermasalah, tetapi kesannya boleh menjejaskan keseluruhan acara,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.