
KUALA LUMPUR, 5 November – Kerajaan memberi jaminan akan terus memastikan rantaian bekalan barangan keperluan dalam negara tidak mengalami gangguan serius ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Eropah dan Asia Barat.
- KPDN memandang serius ancaman, termasuk negara lain menggalakkan rakyat menyimpan stok barangan keperluan.
- Penyelarasan merentasi pihak di bawah MTEN berjaya memastikan rantaian bekalan tidak terjejas.
- Kerajaan akan terus berwaspada dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan susulan perubahan geopolitik.
- Rakyat dinasihatkan tidak panik atau membeli secara berlebihan; mekanisme sedia ada memastikan bekalan mencukupi dan mudah diperoleh.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan memandang serius sebarang ancaman yang boleh menjejaskan bekalan, termasuk perkembangan di beberapa negara yang menggalakkan rakyat masing-masing membuat persediaan menyimpan stok barangan keperluan.
“Kerajaan akan berusaha dengan komitmen tinggi seperti yang kita lakukan semasa konflik geopolitik untuk memastikan rantaian bekalan tidak mengalami gangguan serius.
“Alhamdulillah, setakat ini tidak ada isu besar dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Soda Teh Prebiotik Pertama di Malaysia, di sini.
Menurut beliau, pendekatan penyelarasan merentasi pelbagai pihak di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) setakat ini berjaya memastikan rantaian bekalan negara tidak terjejas.
Bagaimanapun, kerajaan akan terus berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan perubahan situasi geopolitik global.
Rakayat dinasihatkan supaya tidak panik atau melakukan pembelian secara berlebihan memandangkan keadaan bekalan dalam negara ketika ini masih terkawal.
Kerajaan akan terus memanfaatkan mekanisme sedia ada bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi serta mudah diperoleh pengguna.