
KUALA LUMPUR, 5 November – Kementerian Pengangkutan menyasarkan penambahan kekerapan perkhidmatan feri roll-on roll-off (RORO) sebanyak dua trip (perjalanan) sehari bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi menjelang suku keempat 2027 dalam usaha meningkatkan kapasiti dan kecekapan perkhidmatan.
- Sasaran peningkatan kekerapan selari dengan penyiapan projek meroboh, membina dan menaik taraf Jeti Penumpang Kuala Kedah.
- Pemulihan kekerapan RORO kepada tahap pra krisis bergantung kepada permintaan, kemampuan pengusaha, ketersediaan kapal, pasang surut dan keselamatan pelayaran.
- Pelaksanaan disokong pemantauan Jabatan Laut, keperluan pendalaman alur dan pembangunan semula kemudahan terminal untuk kurangkan masa menunggu kenderaan logistik.
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata sasaran itu seiring jangkaan penyiapan sepenuhnya projek meroboh, membina dan menaik taraf Jeti Penumpang Kuala Kedah sekali gus akan meningkatkan operasi pengendalian terminal.
“Pada masa sama, kementerian menyasarkan supaya kekerapan perjalanan RORO dapat dipulihkan secara berperingkat kepada tahap sebelum krisis global tertakluk kepada permintaan, kemampuan pengusaha, ketersediaan kapal dan pasang surut air laut selain aspek keselamatan pelayaran,” katanya.
Tambah beliau, usaha tersebut turut disokong melalui pemantauan operasi Jabatan Laut Malaysia, keperluan mendalamkan alur pelayaran serta pembangunan semula kemudahan terminal.
Beliau menjawab pertanyaan Wakil Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi mengenai sasaran peningkatan kekerapan jadual perjalanan RORO harian antara Kuala Kedah ke Langkawi bagi mengurangkan tempoh menunggu kenderaan logistik dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.