
KUALA LUMPUR, 5 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kegiatan penyembelihan ayam tidak mengikut hukum syarak di sebuah premis di Puchong, Selangor.
- KPDN bertanggungjawab terhadap penandaan halal dan melakukan verifikasi sama ada produk benar-benar berasal daripada sumber halal.
- KPDN akan mengambil tindakan jika disabitkan unsur perihal dagangan palsu atau penandaan halal yang mengelirukan pengguna.
- Operasi bersepadu merampas lebih 6.5 tan ayam mentah bernilai RM85,400 dan menahan 12 warga asing untuk membantu siasatan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, siasatan itu diketuai JAIS yang bekerjasama dengan KPDN berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
“Tanggungjawab KPDN dalam konteks itu adalah penandaan halal, yang merupakan bidang kuasa KPDN.
“Apabila produk dipasarkan di peringkat runcit dan menggunakan penandaan halal, kita akan membuat verifikasi sama ada penandaan itu benar-benar bersandarkan sumber yang halal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Teh Soda Prebiotik Pertama di Malaysia, di sini.
Menurut Datuk Armizan, KPDN akan mengambil tindakan sekiranya siasatan mendapati wujud unsur perihal dagangan palsu atau penggunaan penandaan halal yang boleh mengelirukan pengguna.
Perkembangan lanjut berhubung siasatan akan dimaklumkan JAIS dari semasa ke semasa.
Terdahulu, operasi bersepadu pihak berkuasa di sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Puchong membawa kepada rampasan lebih 6.5 tan ayam mentah bernilai RM85,400 serta penahanan 12 individu warga asing bagi membantu siasatan.