Untung Kumpulan Emirates merosot 66 peratus pada separuh pertama 2026

Gambar hiasan

DUBAI, 5 November – Kumpulan Emirates milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan kejatuhan keuntungan sebanyak 66 peratus bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemerosotan akibat perang serantau dan lonjakan kos bahan api yang menjejaskan operasi penerbangan serta mengurangkan trafik penumpang.
  • Hasil kumpulan hanya turun 12 peratus kepada 66.2 bilion dirham, disokong oleh prestasi kukuh perkhidmatan kargo.
  • Kumpulan memanfaatkan rizab tunai kukuh untuk sokong perniagaan, terus melabur termasuk projek penyenggaraan AS$5.1 bilion dan dasar penumpang fleksibel.

Kemerosotan tersebut disebabkan krisis perang serantau dan lonjakan kos bahan api yang menjejas sektor penerbangan.

Menurut kenyataan syarikat itu, keuntungan separuh tahun selepas cukai mencatatkan angka 3.6 bilion dirham (AS$1 bilion).

Kumpulan yang berpusat di Dubai dan memiliki syarikat penerbangan terbesar di Asia Barat itu menyatakan keuntungan syarikat penerbangan Emirates sebelum cukai merosot 68 peratus kepada 3.7 bilion dirham, terjejas akibat harga bahan api yang tinggi.

“Sejak peperangan di Asia Barat tercetus pada lewat Februari, harga tenaga melambung tinggi ekoran tindakan Iran menyekat laluan kapal di Selat Hormuz hingga mengganggu bekalan global.

“Bagaimanapun, hasil keseluruhan kumpulan tidak terjejas teruk apabila hanya mencatatkan penurunan 12 peratus kepada 66.2 bilion dirham, disokong oleh prestasi kukuh bagi bahagian perkhidmatan kargonya,” menurut kenyataan.

Trafik penumpang antara April dan September mencatatkan penurunan 22 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dengan jumlah 21.8 juta penumpang.

“Enam bulan pertama bagi sesi 2026-27 memberi cabaran besar kepada operasi Emirates apabila sekatan dan penutupan ruang udara secara berperingkat di seluruh wilayah menuntut kecekapan operasi syarikat penerbangan, manakala nasihat perjalanan oleh pihak kerajaan telah mengubah pilihan pengguna serta aliran perjalanan,” kata kumpulan itu.

Syarikat penerbangan tersebut, yang merupakan antara yang terbesar di dunia dari segi trafik penumpang antarabangsa, menyifatkan prestasinya sebagai luar biasa mengambil kira situasi peperangan yang berlaku.

Kumpulan itu turut memaklumkan berupaya memanfaatkan rizab tunai yang kukuh bagi menyokong keperluan perniagaannya termasuk pembayaran awal tempahan pesawat serta pelunasan hutang.

“Ia merupakan tempoh enam bulan yang amat mencabar dan sekali lagi model perniagaan serta warga kerja kami berjaya melepasi ujian berkenaan,” kata Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum.

Bagaimanapun beliau menegaskan kumpulan itu tidak menghentikan pelaburannya biarpun berdepan pelbagai kesukaran.

“Pelbagai inisiatif dilakukan bagi meningkatkan keyakinan pelanggan berikutan peperangan, termasuk menjadi yang pertama dalam industri menawarkan insurans perjalanan komprehensif tanpa terikat dengan nasihat perjalanan kerajaan, penukaran tarikh tiket secara percuma serta dasar pemulangan wang yang fleksibel.

“Di samping itu, syarikat telah memulakan projek pembinaan fasiliti kejuruteraan dan penyelenggaraan bernilai AS$5.1 bilion di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum di Dubai pada Mei lalu, yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan dekad 2030-an,” jelas kenyataan sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.