
ASSAM, 5 Ogos – Angka kematian akibat banjir di negeri Assam, timur laut India, meningkat kepada 87 orang, ketika ribuan penduduk terus berlindung di khemah sementara susulan hujan lebat yang melanda kawasan itu.
- Hujan berterusan menaikkan paras sungai, menyebabkan banjir besar yang memusnahkan kediaman dan kawasan pertanian di Assam.
- Di Sivasagar, penduduk menggunakan rakit untuk memindahkan barangan selepas kediaman dan tanah pertanian ditenggelami air.
- Pakar memberi amaran perubahan iklim meningkatkan risiko banjir dan bencana lain, menjejaskan kehidupan jutaan penduduk Asia Selatan.
Menurut pihak berkuasa pengurusan bencana, hujan berterusan menyebabkan paras sungai meningkat, sekali gus mengakibatkan banjir besar yang memusnahkan kediaman serta kawasan pertanian.
Di daerah Sivasagar, penduduk dilihat menggunakan rakit untuk memindahkan barangan selepas kediaman dan tanah pertanian ditenggelami air.
Assam, merupakan lokasi mengalirnya Sungai Brahmaputra, antara sungai terbesar di dunia, hampir setiap tahun berdepan banjir ketika musim monsun berikutan peningkatan paras air.
Seorang mangsa banjir, Ratan Ruhi Das, 60, berkata beliau pernah melalui beberapa kejadian banjir sebelum ini, namun tidak pernah menyaksikan keadaan seteruk yang berlaku kali ini.
“Saya pernah mengalami banjir pada 1983 apabila Sungai Disang melimpahi bentengnya, tetapi ketika itu paras air tidak setinggi sekarang. Kali ini air naik begitu pantas sehingga kami tidak sempat menyelamatkan harta benda. Semuanya dihanyutkan banjir,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Dipa Das, berkata seluruh penduduk kampung kini tinggal di khemah sementara yang didirikan di kawasan lebih selamat.
“Kami makan, tidur dan tinggal di sini. Sudah lebih dua minggu kami berada di khemah ini dan mungkin perlu tinggal lebih lama kerana rumah masih ditenggelami air dan belum surut. Kami hanya boleh pulang apabila keadaan kembali selamat,” katanya.
Pakar sebelum ini memberi amaran bahawa perubahan iklim meningkatkan risiko bencana seperti banjir, kemarau, pencairan glasier dan kekurangan sumber air di rantau Asia Selatan, sekali gus menjejaskan kehidupan jutaan penduduk.- REUTERS