
GAZA, 5 Ogos – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa Gaza masih tidak selamat untuk orang awam berikutan insiden tembakan dan serangan ketenteraan yang berterusan, termasuk di kawasan yang digunakan sebagai tempat pembelajaran kanak-kanak.
- Seorang murid Tahun Enam di Bandar Gaza ditembak di bilik darjah sementara dalam khemah dan dimasukkan ke hospital.
- Tentera Israel merobohkan beberapa rumah serta sekolah; khemah perlindungan keluarga dimusnahkan dan rakan kemanusiaan PBB menyampaikan bantuan segera.
- Lebih 8,000 mayat dilaporkan masih tertimbus; operasi mencari sukar dengan peralatan amat terhad dan lebih 100 jenazah dikeluarkan.
Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, rakan kemanusiaan agensi itu melaporkan seorang murid Tahun Enam di Bandar Gaza dimasukkan ke hospital selepas terkena tembakan ketika berada di sebuah bilik darjah sementara yang didirikan di dalam khemah.
Beliau turut memaklumkan bahawa tentera rejim Zionis Israel dilaporkan merobohkan beberapa rumah serta sekolah terakhir yang masih beroperasi di sebuah kompleks yang sebelum ini menempatkan empat sekolah di Beit Lahiya.
“Minggu lalu tentera Israel telah memusnahkan khemah yang menjadi tempat perlindungan hampir sedozen keluarga di kawasan sekolah berkenaan, selain meletakkan blok simen berhampiran lokasi itu sebagai sebahagian daripada peluasan kawasan yang dikenakan sekatan akses oleh Israel.
“Rakan kemanusiaan PBB segera menggerakkan bantuan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal susulan operasi tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa orang awam dan infrastruktur awam mesti dilindungi bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan tidak boleh dijadikan sasaran serangan.
“Institusi pendidikan juga perlu kekal sebagai kawasan yang selamat dan dilindungi bagi memastikan keselamatan pelajar serta guru.
“PBB menyedari laporan yang mendakwa Israel menjalankan operasi pembersihan runtuhan berskala besar di Gaza, namun menegaskan organisasi itu akan terus berusaha memastikan penduduk Gaza dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan,” katanya lagi.
Usaha membersihkan runtuhan perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti nasib ribuan individu yang masih dilaporkan hilang.
Sementara itu, Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal berkata, pihaknya mengadakan pengebumian lebih 100 jenazah daripada keluarga Abu Sharia dan Al-Hassyna yang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan.
“Operasi mencari dan mengeluarkan mangsa mengambil masa selama 17 hari dalam keadaan serba kekurangan, dengan pasukan penyelamat menggunakan peralatan yang amat terhad.
“Lebih 8,000 mayat masih tertimbus di bawah runtuhan, manakala proses pengecaman mangsa dilakukan melalui pengecaman ahli keluarga, pakaian, barang kemas serta rekod pembedahan yang pernah dilakukan ke atas mangsa,” katanya.- REUTERS