
GUATEMALA, 5 Ogos – Puluhan penduduk di perbandaran San Juan Alotenango, di sini dipindahkan ke pusat perlindungan selepas Gunung Berapi Fuego meletus, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengisytiharkan amaran jingga.
- Gunung Fuego masuk fasa letusan lebih aktif, memuntahkan abu dan piroklastik menuruni cerun.
- Kira-kira 70 penduduk dipindahkan setakat awal pagi, jumlah boleh berubah mengikut perkembangan.
- Pihak berkuasa dan pasukan penyelamat memantau situasi dan bersedia melaksanakan pemindahan tambahan jika keadaan bertambah buruk.
Gunung berapi itu memasuki fasa letusan yang lebih aktif lewat malam Isnin dengan memuntahkan abu serta piroklastik (bahan atau serpihan pepejal yang terhasil daripada letusan gunung berapi) menuruni cerunnya.
Jurucakap Pasukan Bomba Sukarela Guatemala, Leandro Amado berkata, pasukan penyelamat menjalankan operasi pemindahan secara langkah berjaga-jaga bagi membantu keluarga yang secara sukarela memohon untuk dipindahkan dari kediaman masing-masing.
Menurut beliau, kira-kira 70 penduduk telah dipindahkan setakat awal pagi Selasa, namun jumlah itu dijangka berubah mengikut perkembangan semasa.
Pihak berkuasa Guatemala turut mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan El Porvenir dan Las Lajitas yang terletak dalam perbandaran San Juan Alotenango.
Seorang penduduk El Porvenir, Julia Dondiego, 35, yang dipindahkan bersama empat anaknya berkata, keputusan meninggalkan rumah dibuat demi keselamatan keluarga.
“Kami perlu mengutamakan keselamatan anak-anak. Jika keadaan menjadi lebih buruk, kami perlu keluar. Saya mempunyai empat orang anak dan apabila melihat keadaan ini, kami tidak mempunyai pilihan selain berpindah,” katanya.
Menurut Julia Dondiego, keadaan pada waktu malam jauh lebih membimbangkan berbanding pada siang hari kerana aliran lava dapat dilihat dengan jelas, sekali gus menyukarkan penduduk untuk tidur.
“Pada waktu siang, keadaan tidak begitu jelas kelihatan, tetapi pada waktu malam ia amat menakutkan. Kami sentiasa berjaga-jaga kerana lava merah dapat dilihat mengalir menuruni cerun gunung. Keadaan itu benar-benar menggerunkan,” katanya.
Pihak berkuasa terus memantau aktiviti Gunung Berapi Fuego dan bersedia melaksanakan pemindahan tambahan sekiranya keadaan bertambah buruk.- REUTERS