Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, syarikat kecil & sederhana pemacu pertumbuhan baharu

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Prestasi ekonomi Malaysia yang berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026 membuktikan daya tahan negara meski berdepan ketidaktentuan ekonomi global, termasuk konflik di Asia Barat, ketegangan perdagangan serta ketidaktentuan harga tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi MADANI menekankan tadbir urus baik, disiplin fiskal dan membina keyakinan pelabur untuk menyokong pertumbuhan jangka sederhana.
  • Syarikat kecil dan sederhana perlu berkembang menjadi juara nasional sebelum menjadi peneraju serantau, menyemai pertumbuhan baharu.
  • Inisiatif seperti Bursa RISE+ dan MY Value Up meningkatkan keterlihatan, tadbir urus dan keyakinan pelabur untuk memperkukuh pasaran modal.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI yang memberi penekanan kepada tadbir urus baik, disiplin fiskal dan keyakinan pelabur.

“Prestasi Malaysia bukanlah berlaku secara kebetulan. Lebih tiga tahun yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Ekonomi MADANI sebagai kerangka untuk trajektori jangka sederhana Malaysia.

“Ia bagi menaikkan siling, menaikkan lantai, dan memulihkan keyakinan melalui tadbir urus yang baik,” beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada The Edge Centurion Club Awards 2026 di sini.

Menurut beliau, kerajaan berperanan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi, namun syarikat-syarikat tempatan merupakan pemacu utama yang melabur, berinovasi, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana prestasi.

Sehubungan itu syarikat bersaiz kecil dan sederhana yang tersenarai di pasaran modal perlu terus berkembang menjadi juara nasional sebelum melangkah sebagai peneraju serantau.

Landskap korporat negara diibaratkan sebagai sebuah kanopi, dengan syarikat besar menjadi tunjang kekuatan, perusahaan kecil dan sederhana menyemai pertumbuhan baharu, manakala syarikat berkapitalisasi pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion membentuk lapisan penting yang semakin matang dan berpotensi tinggi.

“Jangkaan pelabur adalah tinggi, begitu juga dengan cita-cita negara, kerana Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat yang mampu berkembang daripada perusahaan yang berpotensi menjadi jaguh nasional, dan akhirnya sebagai peneraju serantau,” katanya lagi.

Aspirasi itu selari dengan sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang menyasarkan saiz pasaran modal Malaysia meningkat daripada RM4.3 trilion pada 2025 kepada sekurang-kurangnya RM5.8 trilion menjelang 2030.

Dalam pada itu inisiatif seperti Bursa RISE+ dan MY Value Up akan membantu meningkatkan keterlihatan syarikat tersenarai, mengukuhkan tadbir urus serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Pada masa sama, pertumbuhan syarikat perlu disokong amalan tadbir urus yang baik, pengurusan risiko yang berkesan serta komitmen terhadap kemampanan, kerana pelabur kini bukan sahaja menilai keuntungan tetapi juga cara sesebuah syarikat mengurus modal, pekerja dan kelestarian perniagaan.

Pada majlis itu, 36 syarikat terbaik dipilih daripada 501 syarikat dalam The Edge Centurion Club sebagai pengiktirafan terhadap prestasi kewangan, pulangan kepada pemegang saham dan daya tahan perniagaan yang cemerlang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.