Bekas CEO, CFO ditahan bantu siasatan khas RCI Tabung Haji

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua suspek berusia 68 dan 60 tahun ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya sekitar 6.30 petang.
  • Kedua-duanya dibebaskan malam sama atas faktor kesihatan dan dijangka hadir semula ke SPRM pukul 10 pagi hari berikutnya.
  • Penahanan susulan siasatan Pasukan Khas meneliti dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji yang didedah 29 Julai.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan dan kes disiasat menurut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 68 dan 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan pada malam yang sama atas faktor kesihatan dan dijadualkan hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 10 pagi ini bagi menyambung rakaman percakapan.

Penahanan tersebut merupakan susulan siasatan Pasukan Khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki melibatkan penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan pembelian saham dua syarikat perladangan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.