
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Dua Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti secara menyeluruh Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 dan RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026.
- Laporan akhir JKPK, termasuk syor penambahbaikan, akan dikemukakan kepada Parlimen pada mesyuarat akan datang.
- Sesi libat urus dijalankan bersama kementerian, agensi kerajaan, pakar perundangan, akademik, badan profesional, pemain industri dan Majlis Peguam.
- RUU Kebebasan Maklumat memperkukuh akses maklumat; RUU Admiralti memodenkan undang-undang maritim, tingkatkan daya saing dan peranan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan akhir penelitian termasuk syor penambahbaikan dijangka dikemukakan kepada Parlimen pada mesyuarat akan datang.
Beliau berkata, mesyuarat pertama kedua-dua jawatankuasa itu dipengerusikannya hari ini susulan persetujuan Dewan Rakyat pada sidang Julai lalu untuk membawa kedua-dua RUU berkenaan bagi penelitian lanjut.
“Proses itu akan melibatkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak antaranya kementerian, agensi kerajaan, pakar perundangan, ahli akademik, badan profesional, pemain industri dan Majlis Peguam Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan.
RUU Kebebasan Maklumat 2026 bertujuan memperkukuh hak rakyat terhadap akses kepada maklumat menerusi kerangka perundangan yang seimbang, telus dan bertanggungjawab.
RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 pula dirangka bagi memodenkan kerangka perundangan maritim negara selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, sekali gus memperkukuh daya saing serta kedudukan Malaysia sebagai hab maritim global.
Penelitian menerusi JKPK mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh agenda reformasi perundangan secara telus dan inklusif berteraskan penelitian Parlimen.