SHAH ALAM, 27 Ogos – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 38, hari ini dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini daripada empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang 'Kelepok Raya' yang tular pada 2022.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas meneliti hujahan tambahan kedua-dua pihak, sekali gus menamatkan prosiding yang sebelum ini memerintahkan tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Mengikut pertuduhan, Aliff Syukri didakwa memuat naik empat kandungan video berunsur sumbang di Instagram miliknya pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dengan niat menyakiti hati individu lain.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pada 13 Oktober 2022, beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.
Kes tersebut menarik perhatian ramai susulan muzik video 'Kelepok Raya' berdurasi 5 minit 23 saat memaparkan aksi keterlaluan beberapa penari lelaki 'lembut' yang dianggap mencemari sambutan Aidilfitri serta dikaitkan dengan elemen LGBT.
Datuk Seri Aliff Syukri tiba di Kompleks Mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi dan sempat menyapa petugas media sebelum menuju ke Mahkamah Sesyen di tingkat dua.