fb fb fb fb fb

Ahli Parlimen Sungai Petani bantu penduduk terjejas banjir

PPS Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda menerima sumbangan

SUNGAI PETANI, 19 September- Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Petani turun padang menziarahi penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda.

Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, selain makanan dan minuman, pihaknya turut mengambil maklumat berkaitan kerosakan rumah dan jumlah kerugian yang ditanggung akibat bencana itu.
 
"Pejabat Ahli Parlimen Sungai Petani akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban para penduduk terjejas.
 
"Situasi semasa di PPS SK Kota Kuala Muda ketika ini menempatkan empat buah keluarga dengan jumlah penduduk terjejas seramai sembilan orang," katanya kepada pemberita di sini.
 
Kebanyakan penduduk yang berpindah ke PPS berkenaan disebabkan rumah telah rosak akibat mendapan tanah, dibadai angin ribut serta banjir teruk.
 
Susulan itu Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)sebanyak RM1,000 akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Jabatan Perdana Menteri kepada semua ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke PPS.
 
Dr Mohammed Taufiq juga menasihatkan semua individu agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke PPS.
 
Kegagalan untuk mematuhi prosedur keselamatan yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.
 
Beliau turut berterima kasih kepada semua agensi keselamatan yang bersatu hati menggembleng tenaga dalam memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas. 

1909 PP BANTUAN BANJIR 2Lim Siew Khim melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Tasek Gelugor

Sementara itu di Pulau Pinang perbincangan berhubung bantuan banjir kepada penduduk terjejas di negeri itu akan diadakan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata, kesesuaian bantuan yang akan disalurkan akan ditentukan kemudian.

"Kita akan adakan perbincangan dengan CM, dia balik hari ni. kita akan adakan perbincangan untuk melihat apa yang boleh.

"Saya fikir mereka dah beritahu zakat dan kita tengok keperluan yang kita akan salurkan," katanya semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Tasek Gelugor petang tadi.

Pada masa sama beliau juga meluahkan rasa syukur susulan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku sepanjang kejadian banjir melanda negeri itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI