37 sesi libat urus, lindungi kanak-kanak di platform digital – MCMC

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Sebanyak 37 sesi libat urus telah diadakan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk platform media sosial, bagi memperkukuh keselamatan dalam talian serta melindungi kanak-kanak daripada kandungan memudaratkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Libat urus menyokong pelaksanaan ONSA 2025 dengan fokus pengurangan risiko dan moderasi proaktif terhadap kandungan berbahaya seperti CSAM, penipuan, buli siber.
  • Perbincangan merangkumi pengesahan umur, kawalan ibu bapa, perlindungan akaun dan peningkatan akauntabiliti platform; cadangan had umur minimum 16 tahun.
  • Pelaksanaan inklusif melalui Regulatory Sandbox, lawatan kerja dan perbincangan teknikal bersama penyedia platform, agensi kerajaan, NGO, CSO dan pengesah pihak ketiga.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, usaha tersebut dilaksanakan bagi menyokong penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Libat urus tersebut memberi tumpuan kepada usaha pengurangan risiko dan moderasi proaktif terhadap kandungan berbahaya dalam talian, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), penipuan, buli siber serta pelbagai bentuk kemudaratan digital lain.

“Perbincangan turut merangkumi pelaksanaan pengesahan umur, kawalan ibu bapa, perlindungan akaun dan peningkatan akauntabiliti platform.

“Ia bertujuan memperkukuh keselamatan dalam talian, termasuk perlindungan kanak-kanak, pelaksanaan pengesahan umur serta penetapan had umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial.

“Menerusi langkah ini, persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian untuk golongan muda dapat diwujudkan melalui pengawasan ibu bapa, perlindungan platform yang lebih kukuh serta reka bentuk platform yang lebih bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan suruhanjaya itu termasuk lawatan kerja dan perbincangan teknikal di Singapura bersama penyedia platform utama, melibatkan wakil Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Libat urus itu memberi fokus kepada pencegahan jenayah siber, akauntabiliti platform, pengesahan umur dan moderasi kandungan memudaratkan.

“MCMC turut memulakan inisiatif Regulatory Sandbox pada Januari 2026 bagi menilai pelaksanaan langkah pengesahan umur dengan penglibatan agensi kerajaan, penyedia platform dan rakan ekosistem pengesahan.

“Sejak November 2025, MCMC juga telah mengadakan siri libat urus bersama pemain
industri, platform digital, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil (CSO), akademia dan organisasi antarabangsa berkaitan pelaksanaan ONSA, termasuk aspek keselamatan kanak-kanak, pengurangan risiko kandungan memudaratkan, pengesahan umur dan kesiapsiagaan pematuhan,” tambah kenyataan itu.

Sesi libat urus tersebut diteruskan sehingga Mei menerusi perbincangan teknikal bersama penyedia platform dan pengesah pihak ketiga bagi memastikan pelaksanaan Regulatory Sandbox berjalan lancar dan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.