
MEKAH, 26 Mei – Umat Islam diseru menjadikan ibadah haji sebagai medan penyatuan ummah dan penyucian jiwa, selain kembali kepada fitrah insan sebenar dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Perhimpunan di Arafah melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan kedudukan.
- Haji mengubah rohani: daripada kelalaian kepada kesedaran, dosa kepada pengampunan, menjadikan insan seolah dilahirkan semula suci.
- Seruan mempertingkatkan takwa, memperbanyak amal dan selawat serta menghidupkan sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meraih syafaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perhimpunaan jutaan jemaah di Arafah melambangkan kesatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan kedudukan.
“Haji bukan sekadar perjalanan menuju ke Tanah Suci, tetapi perjalanan kembali kepada fitrah sebenar.
“Ia bukan sekadar perpindahan jasad, tetapi perpindahan jiwa daripada kelalaian kepada kesedaran daripada dosa kepada pengampunan yang kembali berpusat kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Khutbah Arafah 1447H/2026M bertajuk Manasik Haji: Maqasid Dihayati, Membangun Jiwa Rabbani dan Masyarakat MADANI di Arafah, hari ini.
Mengulas lanjut Dr Zulkifli turut memetik huraian tokoh ulama Iman Yusuf al-Qaradawi bahawa haji yang ikhlas menjadikan seseorang seolah-olah dilahirkan semula dalam keadaan suci daripada dosa.
Beliau juga mengingatkan umat Islam supaya terus meningkatkan ketakwaan dan memperbanyak amal ketaatan.
“Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan berusaha menghidupkan sunnah Baginda SAW dalam setiap aspek kehidupan.
“Ia sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meraih kasih sayang serta syafaat Baginda pada hari akhirat kelak,” katanya.