
SHAH ALAM, 9 Mei – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merekodkan sebanyak 1,675 pendaftaran mualaf di seluruh negeri itu sepanjang tahun lalu.
- 772 individu (82.1%) didaftarkan melalui Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) melibatkan masjid dan pertubuhan Islam bukan kerajaan.
- Setiap mualaf mendapat bantuan kewangan, zakat dan bimbingan berterusan, termasuk kursus bimbingan lima tahun.
- PPP menerima sumbangan sagu hati RM94,000 menggunakan dana zakat, diagihkan mengikut jumlah pendaftaran sebagai penghargaan.
- Galakan kepada saudara baru mendaftar rasmi; kegagalan boleh jejaskan bantuan, pewarisan, perkahwinan dan pengurusan jenazah.
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, daripada jumlah tersebut, 772 individu iaitu 82.1 peratus didaftarkan menerusi Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) yang melibatkan institusi masjid serta pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK).
Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan pengislaman yang disediakan di Selangor.
Katanya, setiap individu yang memeluk Islam dan berdaftar di bawah MAIS akan menerima bantuan termasuk sokongan kewangan, zakat serta bimbingan berterusan bagi memahami ajaran Islam secara menyeluruh.
“Tempoh kursus bimbingan yang diberikan adalah selama lima tahun bagi memastikan mereka benar-benar memahami Islam serta dapat menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dengan baik,” katanya pada Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhwah PPP 2026 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), hari ini.
Dalam pada itu, PPP MAIS turut menerima sumbangan sagu hati berjumlah RM94,000 sebagai penghargaan atas komitmen mereka dalam menguruskan proses pendaftaran pengislaman di negeri itu.
Menurut Datuk Salehuddin, sumbangan menggunakan dana zakat itu diagihkan mengikut jumlah pendaftaran yang dikendalikan setiap pusat sepanjang tahun lalu.
Katanya, langkah itu juga bertujuan memberi galakan kepada PPP selain mengiktiraf peranan mereka dalam aspek penjagaan, perlindungan dan pendidikan kepada golongan mualaf di Selangor.
Beliau berkata, antara penerima utama sumbangan ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor, selain Hidayah Centre Foundation (HCF) dan beberapa organisasi dakwah lain.
Sementara itu, beliau turut menggalakkan semua saudara baharu membuat pendaftaran rasmi selepas memeluk Islam bagi mengelakkan pelbagai masalah pada masa hadapan.
Menurutnya, kegagalan mendaftar boleh menjejaskan urusan berkaitan bantuan, pewarisan harta, perkahwinan dan pengurusan jenazah.
Beliau berkata, antara faktor mualaf tidak mendaftar ialah kebimbangan terhadap penerimaan keluarga selain faktor keselamatan dan tekanan sosial.
Bagaimanapun, jumlah mereka yang tidak mendaftar masih kecil kerana penerangan sentiasa diberikan ketika proses pengislaman dijalankan.
Tambah beliau, MAIS kini mempunyai 41 PPP di seluruh Selangor bagi memastikan proses konsultasi, bimbingan dan pendaftaran pengislaman dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan teratur.