
MELAKA, 9 Mei -Kempen Internet Selamat di Parlimen Hang Tuah Jaya hari ini, memberi penekanan terhadap penggunaan ciri kawalan ibu bapa sebagai usaha memperkasa keselamatan digital dalam kalangan keluarga.
- MCMC memfokuskan pemerkasaan literasi digital komuniti termasuk perlindungan keluarga dan pencegahan jenayah siber.
- Kempen tumpu libat urus komuniti akar umbi dan warga emas untuk membendung ancaman penipuan kewangan dalam talian.
- Pelajar UTeM yang menamatkan ToT akan menjadi fasilitator, merapatkan jurang generasi dalam literasi digital komuniti.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan di sini memaklumkan program itu memfokuskan kepada pemerkasaan literasi digital komuniti, khususnya dalam aspek perlindungan keluarga dan pencegahan jenayah siber.
“MCMC turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan kesedaran dan kemahiran ibu bapa dalam menetapkan kawalan pada peranti anak-anak bagi memastikan penggunaan Internet yang lebih selamat dan terkawal,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan sejajar dengan hala tuju strategik pada 2026, kempen berkenaan turut memberi fokus kepada libat urus komuniti akar umbi serta warga emas dalam usaha membendung ancaman penipuan kewangan dalam talian.
Selain itu, pendekatan Belia kepada Komuniti turut diperkenalkan menerusi penglibatan barisan pemimpin pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah menamatkan latihan Training of Trainers (ToT) Kempen Internet Selamat.
“Mereka akan bertindak sebagai fasilitator advokasi strategik dengan mengendalikan modul secara langsung bersama komuniti setempat, sekali gus membantu merapatkan jurang generasi dalam literasi digital,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan setakat ini kempen advokasi berkenaan telah menyantuni 438 komuniti di seluruh negara termasuk 25 komuniti di Melaka dan pihaknya menyasarkan pelaksanaan 200 kempen bersasar bersama komuniti bagi setiap negeri menjelang akhir tahun ini.
Terdahulu, program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim itu turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.