Polis Bintulu tahan suspek lumba haram, sita 44 motosikal

44 motosikal pelbagai jenis disita hasil operasi PDRM Bintulu

BINTULU, 4 Mei – Polis Bintulu menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam aksi lumba haram selepas videonya tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan atas aksi menunggang 'Superman' di Jalan Jambatan Tun Taib Mahmud.
  • Operasi besar-besaran dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram di kawasan terlibat.
  • Kira-kira 44 motosikal pelbagai jenis disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • 136 saman dikeluarkan; operasi melibatkan dua pegawai dan 27 anggota pelbagai bahagian.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali dalam kenyataan memaklumkan, suspek ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bintulu pada pukul 5.00 pagi, pada 3 Mei lalu.

“Lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ di Jalan Jambatan Tun Taib Mahmud.

“Susulan penahanan itu, satu operasi besar-besaran dijalankan awal pagi tadi bagi membanteras kegiatan lumba haram di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Hasil operasi berkenaan kira-kira 44 motosikal pelbagai jenis disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 136 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Operasi berkenaan melibatkan dua pegawai serta 27 anggota pelbagai bahagian.