
JAKARTA, 8 Oktober – Indonesia menyambut baik cadangan Malaysia untuk menaikkan had umur maksimum pekerja warganya daripada 40 kepada 45 tahun, ketika kedua-dua negara bakal memperbaharui perjanjian buruh dua hala.
- Rundingan perbaharui MoU pekerja asing dua hala kini berada pada peringkat akhir selepas perbincangan antara kedua-dua menteri.
- Indonesia sedang membangunkan aplikasi super bagi menyepadukan perkhidmatan penempatan dan perlindungan pekerja, memudahkan prosedur pengambilan rasmi.
- Malaysia sediakan draf awal meliputi perlindungan sosial, kelayakan cuti, prosedur pengambilan dan cadangan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing.
- Cadangan perluas perlindungan PERKESO kepada pekerja asing, mekanisme kerajaan-ke-kerajaan dan usaha kurangkan kos penempatan sedang dibincangkan.
Langkah itu dilihat berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk individu berpengalaman dan mahir.
Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia Mukhtarudin berkata cadangan itu dibincangkan semasa pertemuannya dengan Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri R. Ramanan di Jakarta pada Selasa.
“Kami menyambut baik cadangan kenaikan had umur kepada 45. Ini bermakna pekerja kami yang berumur lebih 40 tahun masih berpeluang bekerja di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementeriannya.
Sementara itu, Mukhtarudin berkata Indonesia sedang membangunkan aplikasi super untuk menyepadukan perkhidmatan penempatan dan perlindungan pekerja asing, memudahkan prosedur pengambilan rasmi dan mengukuhkan pengawasan.
Pada Rabu, Ramanan memberitahu Bernama rundingan untuk memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) pekerja asing dua hala, yang ditandatangani pada 2004 dan tamat pada awal 2027, berada pada peringkat akhir.
Menyifatkan perbincangan Selasa sebagai sangat produktif, beliau berkata kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan mengenai penyelesaian isu berbangkit bagi memastikan perjanjian yang diperbaharui akan menangani kepentingan majikan dan pekerja di kedua-dua negara.
Sementara itu, menurut kementerian Indonesia, Malaysia juga telah menyediakan draf awal meliputi perlindungan sosial, kelayakan cuti dan prosedur pengambilan di samping cadangan untuk memperkenalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) bagi meningkatkan ketelusan pengambilan.
Menurut kementerian itu, sistem tersebut dijangka menyelaraskan pengambilan, mengurangkan halangan prosedur dan mengehadkan penglibatan pengantara yang tidak dibenarkan manakala Malaysia telah menawarkan taklimat teknikal kepada kementerian Indonesia yang berkaitan sebelum kemungkinan pelaksanaannya.
Malaysia telah mencadangkan untuk memperluas perlindungan keselamatan sosial menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada semua pekerja asing Indonesia termasuk perlindungan sepanjang masa dan perlindungan untuk perjalanan ke dan dari tempat kerja.
Kedua-dua negara juga sedang membincangkan pelarasan untuk kelayakan cuti dan mekanisme pengambilan, termasuk pengaturan kerajaan-ke-kerajaan dan agensi berdaftar, sambil mengkaji kos penempatan bagi memastikan pekerja tidak dikenakan beban kewangan berlebihan. -BERNAMA