KPDN Pahang rampas 59,000 liter diesel

KPDN Pahang berjaya merampas 59,000 liter minyak diesel di sebuah premis di kawasan industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Kuantan

KUANTAN, 4 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang berjaya merampas 59,000 liter minyak diesel di sebuah premis di kawasan industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Kuantan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi hasil risikan dan pemeriksaan pasukan penguat kuasa KPDN Pahang menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu).
  • Premis digunakan sebagai tempat penyimpanan minyak diesel kawalan tanpa lesen atau kebenaran sah Pengawal Bekalan.
  • Lima unit skid tank mengandungi anggaran 57,000 liter dan sebuah lori tangki 2,000 liter disita, kes disiasat bawah AKB 1961 dan Peraturan 1974.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin dalam kenyataan memaklumkan, operasi dilakukan hasil daripada risikan dan pemeriksaan pasukan penguat kuasa KPDN Pahang menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu).

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu digunakan sebagai tempat penyimpanan barang kawalan iaitu minyak diesel tanpa lesen atau kebenaran
yang sah daripada Pengawal Bekalan.

“Lima unit skid tank mengandungi anggaran sebanyak 57,000 liter minyak diesel serta sebuah lori tangki industri yang mengandungi kira-kira 2,000 liter minyak diesel, disita untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 (Akta 122) serta melanggar Subperaturan 18(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,
memiliki barang kawalan tanpa lesen atau permit sah daripada Pengawal Bekalan.