
GEORGE TOWN, 4 Mei- Pulau Pinang mencatatkan penurunan kes demam denggi sebanyak 39 peratus berbanding tahun lalu.
- Trend penurunan kes demam denggi berterusan sejak 2024 hingga tahun ini, menurut Exco Kesihatan Pulau Pinang.
- Pencapaian dikaitkan dengan kerjasama komuniti dan keluarga memastikan tiada takungan air tempat pembiakan nyamuk.
- Tiada kes malaria monyet direkodkan di Pulau Pinang; JKN terus memantau peningkatan kes di negeri lain termasuk Sabah.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata trend penurunan itu berterusan sejak 2024 hingga tahun ini.
“Kalau dibandingkan dengan tahun 2024 dan 2025, Pulau Pinang mencatatkan penurunan ketara. Tahun ini setakat ini, Pulau Pinang turun 39 peratus. Situasi penyakit berkaitan nyamuk aedes masih dalam keadaan terkawal,” katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Beliau berkata pencapaian itu hasil kerjasama komuniti dan keluarga dalam memastikan tiada takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiada kes malaria monyet atau ‘Malaria Knowlesi’ direkodkan di Pulau Pinang setakat ini.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagaimanapun terus menjalankan pemantauan susulan peningkatan kes itu di beberapa negeri lain termasuk Sabah.