455 program pengajian disemak, ambil kira perubahan teknologi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Sebanyak 455 program pengajian di peringkat diploma hingga doktor falsafah (PhD) telah melalui proses semakan bagi tahun 2026, setakat 30 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan program mengambil kira perkembangan teknologi, perubahan landskap industri dan keperluan tenaga kerja semasa.
  • Pembangunan dan akreditasi program AI diperkukuh melalui standard AI yang dibangunkan Agensi Kelayakan Malaysia.
  • 11 universiti awam tawar 30 program AI, jangka 30,000 graduan (2025–2030) dan integrasi elemen AI dalam 80% kursus sarjana muda.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata semakan yang dilaksana mengambil kira perkembangan teknologi, perubahan landskap industri dan keperluan tenaga kerja semasa.

Tambah beliau, bagi program khusus melibat kecerdasan buatan (AI), pembangunan dan akreditasi program diperkukuh menerusi standard program AI yang dibangunkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Daripada aspek pembangunan bakat khusus AI, pada masa ini terdapat 11 universiti awam yang menawarkan program berkaitan AI di pelbagai peringkat pengajian.

“Melalui 30 program di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjangkakan seramai 30,000 graduan akan dihasilkan bagi tempoh 2025 hingga 2030.

“AI tidak boleh hanya dilihat sebagai bidang pengkhususan kerana kalau kita lihat hari ini, daripada segi penggunaan AI sama ada fizikal atau ‘agentic’, ia merangkumi semua aspek.

“Oleh demikian, KPT merancang untuk memastikan 80 peratus kursus bagi program sarjana muda di universiti awam diintegrasikan dengan elemen AI,” katanya di Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengenai langkah KPT memastikan graduan memiliki kemahiran AI bagi menghadapi perubahan pasaran pekerjaan dengan 45 peratus tenaga kerja Malaysia terdedah kepada generatif AI.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.