
KEMAMAN, 4 Mei – Seorang pemandu lori direman selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut yang meragut nyawa seorang juruteknik di Kilometer 293.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pada Sabtu.
- Treler dipercayai hilang kawalan lalu melanggar kenderaan, menyebabkan perlanggaran bertali arus hingga memasuki laluan bertentangan.
- Mangsa, Rosli Yusuf, 54, maut di lokasi; dua anaknya cedera kepala, leher, muka dan mata.
- Suspek negatif ujian saringan urin, tiada rekod jenayah; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Penguasa Polis Supt. Mohd Razi Rosli berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 47 tahun dari Permaisuri, Setiu itu dibenarkan Majistret Marsha Abdul Malik di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini.
Menurut beliau, suspek yang mengalami kecederaan ringan sebelum ini telah dibenarkan keluar dari Hospital Kemaman semalam sebelum dibawa ke mahkamah pagi tadi untuk proses reman.
“Hasil ujian saringan urin mendapati suspek negatif dadah dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin, treler dipandu suspek yang dalam perjalanan dari arah Tol Jabor menghala ke Kuala Besut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan yang dinaiki mangsa bersama dua anaknya di lorong kanan lebuh raya.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabit merempuh penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan. Sebuah lagi kenderaan yang gagal mengelak kemudian merempuh kereta berkenaan.
Kemalangan tersebut mengakibatkan Rosli Yusuf, 54, maut di lokasi kejadian. Dua anak mangsa, Iliya Markisa, 23, dan Auni Ukhratan Basyirah, 14, pula mengalami kecederaan pada bahagian kepala, leher, muka serta mata.
Penumpang sebuah lagi kenderaan turut cedera ringan pada bahagian kepala dan leher.
Tambah Mohd Razi, Iliya Markisa kini masih menerima rawatan di Hospital Kemaman, manakala adiknya telah dibenarkan pulang.