
JERLUN, 28 Mei- Dakwaan Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) bahawa sebahagian besar pesawah di Kedah tidak mengusahakan sawah pada musim ini susulan isu diesel adalah tidak tepat, kata Setiausaha Politik Kanan Presiden KEADILAN merangkap Exco Biro Pertanian KEADILAN, Datuk Romli Ishak.
- Data MADA: lebih 50,000 keluarga pesawah sedang atau telah mengusahakan penanaman padi musim ini.
- Pertemuan dengan pesawah dan nelayan memberi penerangan isu bekalan diesel serta membantu pendaftaran permit subsidi diesel.
- Hasil tuaian padi musim lalu rendah disebabkan cuaca tidak menentu, bukan isu diesel.
- Kerajaan menyalurkan bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan RM200 sehektar sejak 19 Mei kepada pesawah berdaftar.
Beliau berkata berdasarkan data Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), lebih 50,000 keluarga pesawah sedang dan telah mengusahakan penanaman padi pada musim ini.
Menurut beliau, pihaknya turut mengadakan pertemuan bersama pesawah dan nelayan bagi memberi penerangan berhubung isu bekalan diesel serta membantu proses pendaftaran permit bagi mendapatkan harga subsidi diesel.
“Perkara ini sedang kita usahakan bersama. Pada masa sama, kita berharap tiada kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kegusaran dalam kalangan pesawah, sedangkan pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela,” katanya.
Datuk Romli berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ibadah Korban dan Agihan Daging Korban di Jerlun, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Kedah berkata hasil tuaian padi musim lalu agak rendah, namun ia tidak berpunca daripada isu diesel sebaliknya dipengaruhi keadaan cuaca tidak menentu.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan telah menyalurkan bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan kepada pesawah sebanyak RM200 sehektar di Semenanjung.
Insentif itu mula disalurkan secara berperingkat sejak 19 Mei lalu melibatkan pesawah berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan bagi musim semasa.
Terdahulu, PeSAWAH mendakwa hanya 10 peratus pesawah di Kedah mengusahakan sawah pada musim ini, manakala selebihnya memboikot berikutan isu diesel.