
KOTA BHARU, 4 Mei – Polis membuka kertas siasatan susulan penularan pelbagai spekulasi dan maklumat tidak sahih di media sosial berhubung kes bunuh penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Nurfisya Zulkifly, 19, di Ketereh.
- Polis memandang serius penyebaran hantaran berfakta tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan proses siasatan.
- Kandungan dikesan termasuk spekulasi latar belakang suspek, penggunaan gambar rasmi Ketua Polis dan tajuk sensasi tidak tepat.
- Pihak tertentu memanipulasi kenyataan rasmi serta menggunakan logo PDRM tanpa kebenaran sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah kenyataan rasmi.
- Satu laporan polis dibuat; kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya memandang serius penyebaran hantaran yang mengandungi fakta tidak tepat sehingga boleh mengelirukan masyarakat.
Menurut beliau, antara kandungan dikesan termasuk spekulasi berkaitan latar belakang suspek, penggunaan gambar rasmi beliau sebagai Ketua Polis Kelantan bagi menarik perhatian awam serta tajuk sensasi yang tidak tepat.
“Pihak polis turut mengesan tindakan pihak tertentu mengeksploitasi kenyataan rasmi polis dengan memanipulasi atau menokok tambah kandungan, termasuk menggunakan logo rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah ia kenyataan rasmi.
“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan bukan sahaja boleh mencetuskan kegusaran awam, malah berpotensi mengganggu serta menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.
Sehubungan itu, Datuk Mohd Yusoff menyeru orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dengan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan.
Orang ramai juga diminta mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.