
SEPANG, 28 Mei –Golongan belia berusia antara 13 hingga 39 tahun mendominasi hampir 70 peratus daripada keseluruhan 14,308 individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) susulan terlibat dalam aktiviti penagihan dan penyalahgunaan dadah bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
- AADK menyatakan tangkapan hampir 15,000 setakat Mei dan mensasarkan sehingga 40,000 tangkapan tahun ini.
- Unit dron berteknologi thermal membantu mengesan aktiviti penagihan pada waktu malam dan meningkatkan kadar tangkapan.
- Penagih berusia 40 tahun ke atas kebanyakannya ialah penagih berulang dengan rekod tahanan, penjara atau rawatan pemulihan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan statistik, Perak merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 1,843 kes, diikuti Selangor (1,808 kes) dan Kedah (1,472 kes).
“Setakat bulan Mei sahaja, tangkapan sudah mencecah hampir 15,000 orang dan kita menyasarkan mampu mencapai sehingga 40,000 tangkapan pada tahun ini.
“Kita ada unit dron tersendiri yang boleh mengesan aktiviti pada waktu malam dan dengan bantuan itu, banyak tangkapan berjaya dibuat di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Penghayatan Nilai-Nilai Murni Sempena Aidiladha dan Ibadah Korban AADK di sini, hari ini.
Tambahnya, penggunaan unit dron berteknologi thermal heat membantu AADK mengesan aktiviti penagihan dan penjualan dadah termasuk pada waktu malam di kawasan berisiko.
Sementara itu, bagi kategori penagih berusia 40 tahun ke atas, trend menunjukkan kumpulan tersebut kebanyakannya merupakan penagih berulang yang mempunyai rekod penahanan, pemenjaraan atau pernah menerima rawatan pemulihan sebelum ini.