
SEPANG, 28 Mei – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mula menggunakan kit ujian khas bagi mengesan fentanyl dan beberapa jenis dadah sintetik baharu dalam operasi penguatkuasaan di seluruh negara bermula Jun ini.
- Kit ujian telah diedarkan ke semua pejabat AADK negeri dan daerah untuk kegunaan pegawai dan anggota operasi.
- Kit itu mampu mengesan fentanyl, synthetic cannabinoid dan kokain, termasuk penyalahgunaan melalui cecair rokok elektronik atau vape.
- AADK kini berdepan cabaran lebih kompleks dengan dadah sintetik yang dianggap lebih berbahaya berbanding ganja dan heroin.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata, kit ujian berkenaan telah pun diedarkan ke semua pejabat pejabat AADK negeri dan daerah untuk kegunaan pegawai serta anggota ketika menjalankan operasi di lapangan.
Menurut beliau, kit berkenaan mampu mengesan kehadiran bahan terlarang seperti fentanyl, synthetic cannabinoid dan kokain, termasuk yang disalahgunakan melalui cecair rokok elektronik atau vape.
“Kita juga ada alat ujian untuk fentanyl. Bermula bulan Jun ini, kita akan mula buat ujian menggunakan test kit tersebut terutama bagi fentanyl dan synthetic cannabinoid.
“Kita dah edarkan alat itu ke seluruh pejabat AADK di Malaysia dan pada peringkat awal, kita akan kumpul data berdasarkan dakwaan penagih atau penyalahguna mengenai jenis dadah yang diambil,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Penghayatan Nilai-Nilai Murni Sempena Aidiladha dan Ibadah Korban AADK di sini hari ini.
Jelasnya, AADK kini berdepan cabaran baharu yang lebih kompleks melibatkan dadah sintetik termasuk fentanyl yang disifatkan lebih berbahaya berbanding ganja dan heroin.
Menurutnya, trend penyalahgunaan dadah sintetik ketika ini turut melibatkan penggunaan cecair vape yang dicampur bahan terlarang bagi mengaburi kegiatan penagihan.