MAIK agih daging korban kepada 1,400 asnaf sekitar Kota Bharu

Timbalan Yang Dipertua MAIK Datuk Mohd Anis Hussein / RTM

KOTA BHARU, 28 Mei – Sebanyak 53 ekor lembu dikorbankan pada Majlis Ibadah Korban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) 2026 yang berlangsung di padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Daging korban diagihkan kepada 1,400 asnaf melalui masjid bandar dan jajahan sekitar Kota Bharu.
  • MAIK menganjurkan program korban tahunan untuk menyemarakkan syiar Islam dan mengeratkan ukhwah umat Islam pada Hari Raya Korban.
  • Penghargaan dinyatakan kepada agensi kerajaan, badan berkanun dan penyumbang persendirian atas sokongan konsisten menjayakan program.

Jumlah tersebut merangkumi sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuk kurniaan peribadi daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang berkenan menyumbang dua ekor lembu baka Brahman seberat hampir satu tan.

Turut berangkat menyaksikan majlis berkenaan ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Datuk Mohd Anis Hussein berkata, kesemua daging korban daripada program tersebut diagihkan kepada 1,400 golongan asnaf menerusi masjid bandar dan jajahan di sekitar Kota Bharu.

“Ini merupakan program yang dianjurkan setiap tahun oleh MAIK untuk menyemarakkan syiar Islam dan mengekalkan serta mengeratkan ukhwah sesama kita umat Islam khususnya pada Hari Raya Korban setiap tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Anis turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan berkanun serta pihak persendirian yang terus memberikan sokongan konsisten bagi menjayakan program ibadah korban tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.